Pages

Tuesday, 26 February 2013

Day 4 - Percutian Di Kota Kinabalu



Seawal jam 6 pagi, aku dah hantar adik ipar ke LCCT kota kinabalu kerana kesilapan masa pada tiket yang saya booking. Terpaksalah bangun awal. Flight kami 4 beranak pada jam 3.15 petang, manakala flight adik ipar aku seawal jam 7 pagi. Selepas itu, memang kesunyian terasa sekali kerana pergi berenam dan sekarang dah tinggal berempat. Itu pun 2 anak yang masih kecil. Tambahan pula anak aku yang sulung, demam seawal tiba di KK.

Kesian Aiman, masih kurang sihat.

So .. plan pagi tu, lepas je anta diorang, kmk 4 beranak gi balik kat hotel kemas apa yang patut. Lepas tu, dalam pukul 9 pagi, jalan2 kat pasar Filipina untuk beli apa yang patut. Jalan sekitar KK, Lebih kurang dalam pukul 11 pagi. Kita orang pun check out, kemas barang dalam kereta dan menunggu masa untuk ke LCCT KK.




Destinasi terakhir sebelum ke lapangan terbang, kami singgah menyantap di Sugar Bun. Menu simple jer la. Sempat jugak la berjalan sepanjang jalan di Pantai Tanjung Aru. Rasa belum puas lagi kerana banyak destinasi sekitar KK belum sempat kami kunjungi.


Tepat pukul 1 tengahari, terus ke LCCT, hantar kereta sewa yang banyak berjasa selama 4 hari kami di sini dan menunggu masa untuk berlepas pada 3 petang. Check in, simpan barang. Alahai, dengan suasana yang panas, kesian melihat wajah di kecil. 

alamak, kat pintu masuk, beg aku tak lepas .. terpaksa tambah 15kg lagi ...


Sekian, sampai di sini saja catatan percutian di Kota Kinabalu, bandaraya yang sentiasa mengingat saya dengan pemandangan laut yang cukup indah sekali. Insha-Allah, ada rezeki kami akan berkunjung kembali.

Ainul bergaya dengan Coklat kegemarannya

Monday, 25 February 2013

Day 3 - Percutian Di Kota Kinabalu


  Aktiviti melawat pulau dan Snorkelling



Terdapat 5 buah pulau yang ada untuk di kunjungi di sekitar Pantai tapi hanya 3 pulau yang sentiasa menjadi pilihan pelancong iaitu Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sapi. Dua pulau lagi, Pulau Gaya dan Pulau Sulug.

Pulau Cadangan :
Pulau Sapi

Pulau Sapi terletak berhampiran dengan Pulau Gaya. Air laut teramatlah jernih dengan pantai memutih. Masa di peruntukan untuk ronda-ronda di semua pulau dari 9 pagi ke 5 petang.

Terdapat dua cara untuk berkunjung ke Pulau - pulau tersebut.

Cara Pertama
Jika Secara Tidak Sah
Cari bot yang ada di persekitaran KK waterfront yang boleh menawarkan harga yang lebih murah. Tanpa terminal & Conservation Fees (
- kalau nak naik bot secara ikut-ikut, satu kepala bayar RM30. Cuma kena tunggu bot penuh baru boleh berjalan dan biasanya perlu 8 orang la baru dikira cukup korum, destinasi cuma satu pulau sahaja.
- sewa terus sebuah bot yang boleh memuatkan 8 hingga 10 orang dengan membayar RM200. Kemudian boleh ke mana-mana pulau atau ke mana-mana yang dikehendaki.

Cara Kedua
Jika Secara Sah.
Kadar bayaran per pax bot untuk Tunku Abd Rahman Marine Park :
Pulau Manukan - RM23, RM18
Pulau Gaya - RM23, RM18
Pulau Mamutik - RM23, RM18
Pulau Sapi - RM23, RM18
Pulau Sulug - RM25, RM18
Two Island Hopping - RM33, RM28
Three Island Hopping - RM43, RM38
Four Island Hopping - RM53, RM48
TERMINAL FEES - RM7.20 per pax
CONSERVATION FEES - RM3.00 per pax

Kadar Sewa Peralatan
Mask & Snorkel - RM10
Life Jacket - RM5
Beach Mat - RM5
Fins - RM10 

Pemandangan Tunku Abdul Rahman Marine Park di ambil dari Suria Sabah
1.Pergi awal supaya lebih lama boleh ronda-ronda di Pulau. Bot berlepas pukul 9 pagi.
2.Sedia makanan sebelum bergerak ke Pulau sebab makanan kat pulau boleh tahan harganya.

Nampak masih belum ada tanda positif untuk mereka (pengikut Sultan Sulu) keluar dari Sabah. So hari tu kami Cuma berlegar-legar di sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Untuk langkah keselamatan, kami batalkan niat walaupun semangat dah berkobar-kobar semenjak hari pertama lagi. Jadi lokasi seterusnya, Suria Sabah untuk singgah makan tengahari.

hanya di Kota Kinabalu, Suria Sabah.

Pasar Kraftangan Kota Kinabalu (Pasar Filipina)



Terletak di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, Pasar Kraftangan yang juga dikenali sebagai Pasar Filipina di kalangan penduduk tempatan, menjadi destinasi wajib yang perlu dikunjungi bagi mendapatkan cenderamata.

Tumpuan orang ramai, parking memang susah nak dapat


Lokasi sekitar Kota Kinabalu

Jambatan Tamparuli

Lokasi lebih kurang 20 minit dari Kota Kinabalu.
Lokasi Jambatan Tamparuli dan Rumah Terbalik Borneo
Abah dan Aiman

Taman Rekreasi Air Masjid

Ingin merasa pengalaman berkayuh sampan sendiri di dalam air? Selain untuk beriadah, ia baik untuk kesihatan. Berpeluh-peluh berkayuh di waktu petang. Di atas kertas, masa di peruntukkan cuma 20 minit. Tapi jika di fikirkan, anda berkayu sehingga ke tengah tasik, lepak selama 20 minit. lepas tu berkayuh semula ke jeti, masa yang di ambil boleh jadi antara 30 ke 40 minit. Memang amat menyeronokkan.

Tiket masuk

Walaupun penat berkayuh, wajah ceria tetap masih tertampang

Pada sebelah malamnya pula sebelum berangakt pulang ke Kuching esok, kami menjamu selera di KK waterfront untuk menu masakan laut.

Berposing sambil minum "aek Nior"

Sunday, 24 February 2013

Day 2 - Percutian di Kota Kinabalu

Seawal jam 8 pagi, perkara pertama yang kami lakukan ialah “check out” dari Hotel Iskandar dan “check in” ke hotel Maxim. Setelah itu, menjamu selera sebelum bertolak ke Pekan Kundasang. 

Cuaca nampaknya tak seindah yang diimpikan. Hujan, berkabus dan jalan nampak agak licin untuk sepanjang perjalanan ke Kundasang. Perjalanan mula jadi mencabar selepas keluar dari round about terakhir selepas Jalan Tamparuli dan mula mendaki bukit sepanjang perjalanan ke Kundasang. 

Dengan keadaan jalan yang bergunung ganang dan bengkang bengkok, pemandangan persekitaran sungguh indah. Sepanjang perjalanan anda dapt melihat kehijauan dan kebiruan gunung – ganang, jurang yang jauh ke bawah di lapisi dengan permukaan awam, terasa anda berjalan di atas awan. Perasaan teruja akan semakin terasa teruja apabila gunung Kinabalu telah mula ternampak. Cuba anda bayangkan, anda sedang memandu tinggi di atas bukit, ooopss.. bukan bukit tapi gunung. dari sini kelihatan jelas gunung Kinabalu, gunung yang tertinggi antara gunung-gunung yang ada. Nampak jer Gunung Kinabalu terkenang lagu ini di corong telinga.

“Tinggi-tinggi gunung kinabalu, tinggi lagi sayang sama kamu”

Nak cerita sikit tentang fakta pembetukan gunung kinabalu. Gunung Kinabalu terhasil dari pertembungan litosfera Laut China Selatan dan litosfera yang membentuk kepulauan Borneo. Litosfera ialah bahagian paling atas permukaan kerak bumi. Dalam pertembungan itu, litosfera Laut Cina Selatan semakin terbenam ke bawah permukaan bumi memberi tekanan kepada litosfera yang membentuk Kepulauan Borneo.

Tekanan itu menolak bongkah Gunung Kinabalu yang terletak di bawah permukaan bumi naik ke atas permukaan bumi. Tolakan itu menyebabkan Gunung Kinabalu semakin meninggi setiap tahun tetapi pada kadar yang amat perlahan (5 mm) dan sukar dilihat dengan mata kasar.

Cerita sikit tentang jarak Taman Negara Kinabalu dari Bandaraya Kota Kinabalu. Lebih kurang dalam 90Km dengan jalan yang bergunung-ganang dan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai. Berbekalkan pengalaman memandu selama 13 tahun, alhamdulillah kami tiba ke Taman Negara kinabalu dengan selamat.

Gambar di sekitar luar kotak terpaksa di gelapkan untuk menampakkan puncak Kinabalu

Pintu masuk Taman Negara Kinabalu terletak tinggi di atas bukit. Tiket untuk masuk boleh di beli terus melalui kaunter macam “drive thru” la  dan dengan semangat “berani bencer”, aku terus memandu menyusuri jalan kecil untuk ke perhentian terakhir tempat pendakian bermula. Nak parking kereta memang susah kerana memang tiada tempat parkir di sediakan. Hujan masih turun renyai-renyai, kami mebatalkan niat untuk berjalan di sekitar kaki Kinabalu dan berpatah balik menuruni jalan berbukit dan berhenti sebentar di rumah galeri di dalam Taman Negara Kinabalu untuk mencari maklumat. Secara kebetulan pada hari itu ada pameran, so kami pun mengambil peluang untuk menangkap bergambar untuk kenang-kenangan. Sebelum itu kami sempat bergambar di Koridor semasa perjalanan ke sini.

Si kecil beraksi bersama Biawak

Walaupun demam, tanda "peace" tetap di gayakan

  Desa Casttle Dairy Farm


Destinasi seterusnya ialah “Mini New Zealand Dairy Board” yang terletak betul-betul di kaki Kinabalu berhampiran dengan Pekan Kundasang. Ni gelaran yang aku bagilah, yang sebenarnya nama tempat tu ialah Desa Casttle Dairy Farm. Harga tiket untuk masuk ialah RM4 untuk dewasa dan kanak-kanak  7 tahun ke atas ialah RM2. Di sini anda berpeluang untuk merasa susu segar dari kilang tapi bukan percuma, beli sendiri. Jika anda berminat untuk melihat bagaimana susu di perah, bolehlah berkunjung sekitar jam 3 hingga 5 petang. Oleh kerana masa tidak mengizinkan, jadi cukuplah pengalaman melihat pemandangan di kaki gunung dengan lembu seperti suasana di New Zealand. 


Pekan Kundasang 
Sekitar pemandangan di Pasar Tamu di Pekan Kundasang


Pekan ni kecik jer ... so kita orang cadang nak berehat makan sebentar berdepan dengan dengan Gunung Kinabalu.

Masakan di Puncak Restaurant memang menyelerakan

Kundasang Memorial War
Setelah puas menjamu mata dan mengambil gambar, kami bergerak ke Kundasang Memorial War betul-betul terletak bersebelahan dengan Pekan Kundasang. Bayaran masuk RM2 untuk dewasa dan kanak-kanak RM1. Sewa payung RM1 kerana hari masih hujan.



3 Destinasi telah pun di kunjungi, rasanya destinasi terakhir adalah Poring Hot Spring. Tapi sebelum itu perut mesti di isi dengan makanan. Menjamu selera di Puncak Restaurant, terletak di tepi jalan berhadapan dengan pasar tani Kundasang. Sambil menikmati pemandangan Kinabalu, makanan di di sini harganya agak berpatutan.

Kecerahan gambar di gelapkan untuk menampakkan pemandangan Gunung Kinabalu
Setelah penat mengisi perut, apa lagi ...kami bergerak ke Poring Hotspring. Jarak lebih kurang 25 Km dari Pekan Kundasang. Pergerakan kereta terpaksa diperlahankan kerana jalan masih basah dengan hujan yang turun renyai-renyai. Permukaan jalan masih lagi berbukit bukau dan berselekoh. Kami tiba di Poring Hotspring lebih kurang pukul 4 petang. Di sini jika anda telah membeli tiket semasa di Taman Negara Kinabalu, tiket boleh di gunapakai. Jadi jangan di buang tiket tersebut, jadi dapatlah berjimat. Di Poring Hotspring, terdapat 5 lokasi yang boleh dilawati iaitu Taman Kupu-kupu, Jambatan Kanopi,Air Terjun Kapungit, Gua Kelawar dan Air Terjun Langganan. Oleh kerana masa terlalu cemburu, kami hanya bercadang untuk bersantai beberapa ketika untuk merendam kaki di air panas sahaja.
Berposing dengan kenderaan kami
Lebih kurang jam 4.30 petang, kami mula bergerak kembali ke Kota Kinabalu kerana bimbang jalan sudah semakin gelap. Suasana jalan kadang-kala berkabus mungkin kami melintasi tempat yang berawan. Kami sempat bergambar berlatar belakangkan gunung Kinabalu di satu lokasi yang nampak agak strategik untuk berhenti. Tambahan pula pada petang itu, jalan nampak lengang.



Selepas hampir satu jam lebih kami pun melepasi jalan begunung ganang dan mula masuk ke jalan utama menuju ke Kota Kinabalu. Kami sempat singgah sebentar ke Rumah Terbalik Borneo yang terletak di Jalan Telibong, Tamparuli. Hasrat hanya untuk bergambar di bahagian luar sahaja kerana untuk bergambar di dalam rumah memang tidak di benarkan. Rasa tidak berbaloi untuk membayar RM10 hanya sekadar untuk melihat sahaja tanpa gambar kenang-kenangan. Hasrat terpaksa di batalkan dan hanya bergambar di luar sahaja itu pun secara jauh. Kalau nak bergambar lebih dekat, bayaran RM2 akan dikenakan.


Cukuplah destinasi untuk hari ini, kami kembali ke hotel untuk menyegarkan badan dan aktiviti pada malam pula ialah ke pasar malam, di Jalan Kampung Air. Borong apa yang patut, tangan dah penuh dan bila rasa dah tak larat kami pun beredar. Malam itu, kami Cuma beli “tapow” KFC kerana hari pun dah lewat, anak-anak dah tidur dan terus kembali ke Hotel.

> Teruskan untuk hari yang ke - 3

Saturday, 23 February 2013

Day 1 - Percutian Di Kota Kinabalu

Hari Pertama di Kota Kinabalu
Destinasi pelancongan pada kali ini ialah Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah. Sebuah kota yang terkenal dengan hasil kraf mutiara. Dari perhiasan seperti Jam mutiara, rantai mutiara, butang baju melayu mutiara hinggalah ke brooch baju kurung. Keindahanan Kota Kinabalu tampak terselah dengan lautnya yang membiru serta sayup mata memandang melihat pulau yang nampak agak dekat walaupun jauh dan yang paling sinonim dengan Sabah ialah gunung Kinabalu. 

23 Februari 2013, tarikh yang di nantikan setelah sekian lama “membooking” tiket. Penerbangan ke Kota Kinabalu tertera atas kertas pada jam 9.40 pagi. Seawal jam 8.30 pagi kami dah pun berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Alhamdulillah, segala perancangan tepat pada masanya dan tidak mengalami sebarang masalah. Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, beg terus dimasukkan ke dalam bagasi semasa pendaftaran di kaunter masuk.

Berada di ruang legar Balai berlepas lebih kurang jam 9.15 pagi. Macam biasalah, sebelum naik “belon” kenalah berbaris dulu. “senang diri, jaga sedia”, rasa macam nak masuk kelas zaman sekolah dulu.

Lapangan Terbang untuk Air Asia Kota Kinabalu


Suasana dalam kapal terbang
Cuaca pada pagi itu amat baik sekali, harap-harap cuaca Kota Kinabalu pun baik. Sepanjang penerbangan lebih kurang 1 jam 15 minit, semua dalam keadaan baik ajer. Perut dah mula “krok...krok”, namun apakan daya. Nak makan atas awan bersama Air Asia ni memang agak mahal dan agak tidak berbaloi. Atas permintaan anak-anak, mahu tak mahu terpaksalah beli Maggi cup dan air milo kotak. He..he.

Landing time
Kedengaran pilot mengumumkan masa untuk landing. Subhanallah..memang cantiklah pemandangan kat sepanjang landasan semasa mendarat. Laut yang membiru dengan cuaca yang amat baik. Rasa tak sabar nak jalan-jalan sekitar Kota Kinabalu.

Suasana di Balai Ketibaan
Selepas ambik barang dari bagasi, kami terus ke kaunter kereta sewa yang telah aku tempah seminggu lebih awal. Dari jauh dah nampak KK Leisure Tour & Rent A Car Sdn. Bhd. Harga penyewaannya boleh tahan, dari RM170 dah di kurangkan ke RM140 + RM18 (insuran) untuk sebuah kereta Myvi 1.3 auto. Deposit RM200. Aku sewa 4 hari, so semuanya adalah RM674. Bolehlah untuk keselesaan kami sekeluarga dan untuk pendakian sepanjang nak ke Kundasang kelak.

Masa kat jalan
Selepas selesai semua urusan peminjaman, apa lagi, simpan barang dalam bonet, masuk kereta dan aku terus pandu, dah rasa macam orang KK.
Dalam hati aku menjerit, “ KK!! Here we come!yeaaahaa!”.
Dibantu oleh encik GPS, Jalan kat KK ni kami yang punya, destinasi pertama ialah Hotel Sri Iskandar yang terletak di Jalan Kampung Air. Semasa proses pencarian ni agak lucu sedikit kerana Hotel yang kami cari betul berada di sebelah kami. Berpusing-pusing mencari, oleh kerana macam kera baru keluar hutan, lain di cari lain di jumpa. Namun setelah 15 minit mencari akhirnya kami jumpa jugak.

Parking
Sistem parkir kat sini memang berbeza dengan di bandar lain. Cukup mudah bagi pengguna kerana sistemnya, anda parking sahaja, penjaga parking akan menghantar bil bayaran ke kenderaan anda. Plug "N" Play... Kalau diorang tak detect, parking free ler... hehehe..

Kupon Parkir

Resit pembayaran Parkir

Di hotel
Hotel yang di tempah adalah Hotel Sri Iskandar, tapi yang kami dapat adalah Hotel Iskandar. Terletak selang satu kedai sahaja. Bukan hendaklah memburukkan, tapi keadaan situasi hotel ini amat tidak sesuai untuk mereka yang berkeluarga yang menginginkan keselesaan. Full Stop. Jika nak tau lebih lanjut, rasailah sendiri. Itu pun kalau sudi.

Kaki kami agak berat untuk berada di dalam bilik terlalu lama, lepas memunggah beg ke bilik, kami mencari tempat untuk mengalas perut dan bersiar-siar di sekitar Kota Kinabalu.


Selepas puas meronda sekitar bandaraya, kami kembali berehat di hotel sebentar untuk mengumpul tenaga sementara menunggu hari beransur gelap untuk berjalan di pasar malam, mata sentiasa melilau ke luar tingkap memerhati agaknya dimana pasar malam yang di katakan berhadapan dengan Hotel Iskandar di Jalan Kampung Air. Lebih kurang jam 6.30 petang, kelihatan beberapa orang telah mula memasang kanopi, betul-betul berada berhadapan berhampiran bangunan Maybank. Memang sahlah, itulah destinasi pertama menghabiskan duit untuk malam kelak.

Di waktu malam
Untuk malam pertama kami membuat survey terlebih dahulu kerana esok masih ada, jadi malam ni kita orang cuma beli apa yang patut dan terus ke KK waterfront untuk mencuba menu masakan laut.
Sepanjang jalan sekitar KK waterfront agak sesak dan memang susah nak dapat parkir. Dengan kepakaran yang ada, akhirnya dapat jugak la meyusup parking kat tepi jalan tak jauh dari tempat lambakan gerai masakan laut. Boleh pilih mana-mana gerai yang anda berkenan, oleh kerana terlalu banyak gerai makanan laut, tak tau yang mana satu pilihan hati.



Harga memang berpatutan dan tak rugilah makan kat sini sambil melihat gelagat orang ramai terutama sekali pelancong asing yang datang berkunjung.

Setelah selesai menjamu selera, dengan perut yang telah penuh berisi kami balik hotel. Plan esok nak bangun awal untuk ke 4 destinasi seterusnya yang terletak di Kundasang. Tapi sebelum tu, kami nak pindah hotel lain. Nak tau apa 4 lokasi tersebut? Sila ke destinasi seterusnya.

> teruskan untuk hari ke - 2